Latest News

September 15, 2019

Malakoff Anjur Ceramah Perdana Mukim Serkat Sempena Sambutan Maal Hijrah



Pada 15 September 2019 yang lepas, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah menganjurkan Ceramah Perdana Mukim Serkat bersempena sambutan Maal Hijrah 1441 bertempat di Pusat Internet Tanjung Piai, Pontian, Johor. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Mufti Negeri Johor, Datuk Haji Yahya bin Ahmad dan menghimpunkan hampir 500 muslimin muslimat sekitar Mukim Serkat.

Turut hadir, Penghulu Mukim Serkat, Tuan Roslan Bokari, Ketua-ketua Kampung Mukim Serkat, termasuk Ketua Kampung Kawasan 1, En Abdul Hamid Ahmad, dan wakil pihak Malakoff.


 
Ceramah Perdana yang bermula selepas solat Isya’ ini menyingkap dengan lebih mendalam mengenai maksud Hijrah. Datuk Yahya memulakan ceramah beliau dengan mengupas maksud di sebalik tanggal 12 Rabiul Awal. Selain daripada tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal, beliau berkata, tarikh tersebut juga merupakan tarikh Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Kota Mekah sampai ke Kota Madinah dan juga tarikh kewafatan Nabi Muhammad SAW. Maka tarikh ini adalah istimewa untuk umat Islam.


 
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa sebagai manusia, kita juga melalui fasa-fasa hijrah dalam kehidupan yang dibahagikan  kepada 4 fasa iaitu Alam Roh, Alam Rahim, Alam Dunia dan Alam Barzakh. 

Tambah Datuk Yahya, manusia diberi peluang untuk menjalankan perintah Allah SWT sewaktu di dunia dan segala amalan akan dicatat dan dihisab di Alam Barzakh. 


 
Beliau mengingatkan hadirin bahawa hanya amalan yang soleh dan doa anak-anak yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang dapat menyelamatkan kita di sana.

“Oleh itu, bimbinglah anak-anak kita untuk menjadi orang yang beriman dan beramal soleh.”

Beliau mengakhiri ceramah dengan pesanan agar para hadirin terus berhijrah ke arah yang lebih positif dalam kehidupan seharian selagi berpeluang untuk melakukannya.


 
Back to Latest News
Back to Top