Sharing important news and updates for you and the community
Bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dengan kerjasama JKKK Mukim Serkat, Pontian, Johor dan JKKK Segari, Lumut, Perak telah mengadakan Ceramah Perdana pada 15 Disember 2017 yang lalu. Ceramah Perdana tersebut telah berlangsung serentak di Masjid Al-Amin Sg Dinar, Pontian dan Masjid Khairul Jariah, Segari.
Di Segari, lebih 200 jemaah yang terdiri daripada penduduk setempat dan warga kerja Malakoff telah hadir mengimarahkan majlis ilmu kali ini yang menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Mohd Zainudin Bin Mohamed Zaini atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Yeop sebagai penceramah jemputan. Beliau telah mengupas mengenai sirah hidup Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan dakwah untuk menegakkan agama Islam.
Bertepatan dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, beliau turut mengingati para jemaah tentang kepentingan menjaga hubungan sosial dan kemasyarakatan dengan mengambil contoh Nabi Muhammad SAW dalam tatacara bergaul dan berbuat baik kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan agama dan fahaman tertentu.
Di Mukim Serkat pula, ceramah telah disampaikan oleh penceramah terkenal, Ustaz Roslan Mohamed dihadapan lebih 500 hadirin yang hadir. Ustaz Roslan mengajak para hadirin untuk tidak hanya memperingati junjungan mulia Nabi Muhammad SAW pada hari atau acara tertentu sahaja. Ia sepatutnya disegarkan dalam ingatan setiap Muslim dengan memperbanyakkan selawat dan mempraktikkan ajaran Islam sepanjang masa.
Selain itu, beliau menasihati hadirin untuk selalu memaafkan orang lain dan berfikiran positif dalam kehidupan seharian sejajar dengan ajaran Nabi Muhammad SAW, agar kita dapat menjalani kehidupan bermasyarakat dengan harmoni.
Alhamdulillah, penganjuran Ceramah Perdana ini mendapat sambutan yang baik dari masyarakat setempat seperti kebiasaannya. Malakoff akan terus menganjurkan program sebegini sebagai satu medan ilmu di samping mengukuhkan hubungan silaturrahim di antara warga kerja Malakoff dan penduduk setempat.