Sharing important news and updates for you and the community
Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”) telah menganjurkan Ceramah Perdana KLHQ pada 9 dan 21 Mei 2019 bertempat di Auditorium MAX, Kuala Lumpur, yang disampaikan oleh dua orang pendakwah terkenal, iaitu Ustaz Dato’ Haji Badli Shah Alauddin dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani. Selain berdakwah, Ustaz Dato’ Badli Shah juga berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau di Jabatan Agama Islam Pahang. Ceramah-ceramah tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang 80 orang warga kerja Malakoff.
Ceramah Ustaz Dato’ Badli Shah berkisar tentang ibadah puasa di bulan Ramadhan dan beliau telah menitipkan 3 perkara penting yang sangat berkait dengan bulan yang mulia ini.
Pertama, hendaklah memperbanyakkan bersyukur kepada Allah dan merasa seronok dengan kedatangan Ramadhan. Sebagai umat Islam yang tinggal di Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana tempoh berpuasa adalah sekitar 12 ke 13 jam sehari berbanding mereka di Eropah yang berpuasa di musim panas dan terpaksa menghadapi tempoh berpuasa sehingga 20 jam sehari.
Seterusnya, beliau menyeru para hadirin untuk memperbanyakkan berdoa supaya dipermudahkan dalam menghadapi pelbagai ujian semasa berpuasa. “Ibadat puasa juga adalah lebih rumit dari ibadat haji. Justeru itu, kita dituntut untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang cukup bagi menghadapi Ramadhan, terutamanya tentang larangan-larangn ketika berpuasa.”
Sebagai kesinambungan dari Ceramah Perdana Awal Ramadhan tersebut, Ustaz Dusuki pula menyampaikan ceramah sempena sambutan Nuzul Quran.
Menurut Ustaz Dusuki, Al Quran merupakan tanda kebesaran Allah dan salah satu daripada mukjizat Rasulullah s.a.w. Ia diturunkan sebagai panduan kepada manusia untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
Ustaz Dusuki menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w sangat menantikan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia sehingga Baginda telah mengajarkan doa khusus untuk dibaca dari bulan Rejab, iaitu dua bulan sebelum Ramadhan, supaya umatnya dipertemukan dengan Ramadhan untuk beribadat dan memanfaatkan bulan tersebut.
Beliau juga mengingatkan hadirin supaya mempunyai fokus di dalam hidup sebagai hamba Allah. “Jangan sampai kita terkejut apabila Malaikat Maut menjelma dan meminta untuk diberi sedikit masa lagi untuk berbuat kebaikan, kerana ajal tidak akan dilewatkan atau diawalkan walau sesaat.”
Oleh itu, beliau menyeru hadirin untuk memenuhi bulan Ramadhan dengan membaca Al Quran, bertaubat dan berdoa untuk mendapat syurga Allah.
Semoga ilmu yang diperolehi menerusi ceramah-ceramah ini dapat diamalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan.