bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Kakitangan Port Dickson Power Berhad berganding bahu menaik taraf Makmal Komputer SK Port Dickson

19 August 2015



Pada 20 Ogos 2015, Port Dickson Power Berhad (PDP), loji janakuasa milik sepenuhnya Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah dijemput ke “Majlis Perasmian Makmal Komputer SK Port Dickson” sebagai tanda penghargaan di atas usaha warga kerja PDP dalam melaksanakan program “Tanggungjawab Sosial Korporat” (CSR) di sekolah tersebut.



Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Maimunah binti Samek, Guru Besar SK Port Dickson. “Kami berbesar hati dan terharu apabila pihak Port Dickson Power sudi menaja dan mengerah tenaga untuk merealisasikan impian anak murid sekolah cluster ini. Hasrat mereka untuk memiliki sebuah makmal komputer yang lebih baik telah tercapai,” ujar beliau.



Encik Nordin bin Kassim, Naib Presiden Kanan Bahagian Operasi dan Penyelenggaraan Malakoff Power Berhad telah merasmikan majlis tersebut yang disaksikan oleh Puan Maimunah, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, guru dan murid SK Port Dickson.



Dalam program CSR ini, seramai 20 orang warga kerja Malakoff telah secara sukarela membantu membaik pulih makmal komputer di sekolah tersebut. Antara kerja-kerja yang dilakukan adalah servis hawa dingin, mengecat dinding dan membuat pendawaian semula. Kesemua kerja ini telah berjaya dilaksanakan dalam masa 3 hari, bermula 3 hingga 5 Ogos 2015.



En. Sankar MK. Samy, Pengurus Loji Janakuasa Port Dickson berkata beliau gembira dengan hasil baik pulih makmal komputer tersebut. “Saya bangga dengan komitmen dan kemampuan yang ditonjolkan oleh kakitangan saya untuk kerja amal ini. Hasil kerja amal ini dapat membantu mewujudkan makmal komputer yang lebih kondusif untuk proses pembelajaran anak murid di sekolah tersebut.”

PDP telah menaja sebanyak RM5,000 untuk kos naik-taraf makmal komputer SK Port Dickson untuk program CSR kali ini.