bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Karnival Sukan Rakyat Merapatkan Warga Malakoff dan Komuniti

18 May 2012

Hujan yang turun dengan lebatnya pada pagi hari Sabtu, 19 Mei 2012 tidak menghalang warga kerja Lumut Power Plant (LPP) dan penduduk Kampung Segari berkumpul di padang Sekolah Kebangsaan Segari seawal jam 8.00 pagi bagi menyertai Karnival Sukan Rakyat Malakoff 2012.



Karnival anjuran Kelab Sukan Rekreasi Lumut Power Plant (KSR LPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKP) Segari ini diadakan bagi mengeratkan lagi perhubungan warga kerja Stesen Janakuasa Lumut dan penduduk kampung sekitarnya. Mereka yang hadir bersama keluarga terus mendaftarkan diri untuk menyertai pelbagai acara sukan rakyat yang telah dirancang.



Karnival sukan ini didahului dengan ucapan aluan yang telah disampaikan oleh Tok Sidang Kampung Segari, Encik Zailani Zenon. Beliau telah menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Malakoff atas usaha berterusan dalam membantu serta bersama-sama dengan penduduk kampung dalam meningkatkan sosio kehidupan Kampung Segari. Sementara itu, Encik Abdul Razak Hamid, Ketua Operasi LPP dalam ucapan aluannya turut berterima kasih kepada penduduk Kampung Segari atas kerjasama yang telah mereka berikan sepanjang LPP beroperasi di situ.



Karnival sukan yang julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan yang amat meriah. Pelbagai acara sukan rakyat seperti Boling Buah Kelapa, Pancing Botol, Kukur Kelapa, Sepak Raga Bulatan dan pelbagai lagi acara telah dipertandingkan. Kesemua acara telah disertai warga kerja LPP dan juga penduduk kampung. Acara untuk kanak-kanak turut dijalankan bagi menambahkan lagi kemeriahan karnival tersebut.


Karnival Sukan Rakyat ini sememangnya bertepatan dengan objektif Malakoff Community Partnership (MCP). Malakoff sentiasa memberi keutamaan kepada komuniti bagi mengekalkan keharmonian di antara syarikat dan pihak-pihak berkepentingan. Inisiatif sebegini berupaya meningkatkan lagi keharmonian dan silaturahim bagi kedua-dua belah pihak.



Karnival sukan itu telah berakhir dengan jamuan tengahari yang telah disediakan secara gotong royong oleh penduduk kampung. Penduduk kampung bersama-sama dengan warga kerja LPP bergotong royong melapah dan menyediakan persiapan untuk jamuan sehari sebelum karnival tersebut. Encik Abdul Rahman Hussein, Pengurus Stesen LPP turut sama meluangkan masa melapah lembu yang disembelih tersebut. Majlis melapah dan persiapan jamuan tersebut diakhir dengan jamuan mee sup dan sup tulang yang dinikmati dalam suasana gotong royong.



Karnival Sukan ini telah membuktikan keprihatinan Malakoff terhadap komuniti di persekitaran stesen janakuasanya. Matlamat untuk terus meningkatkan silaturahim dengan komuniti melalui aktiviti riadah dan informal ini adalah bertepatan. Semua yang hadir amat gembira dan berharap karnival ini akan dapat diadakan setiap tahun.