Sharing important news and updates for you and the community
Pada 19 Mac 2016, Karnival Sukan Rakyat Segari, telah diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Segari, Perak. Acara ini telah dianjurkan oleh Malakoff dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Segari.
Para peserta yang terdiri daripada penduduk Kg. Segari dan warga kerja Loji Janakuasa Lumut (LPP), salah satu loji janakuasa milik Malakoff, telah berkumpul seawal 8 pagi untuk mendaftar dan menyertai karnival tersebut. Perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Manjung, DCP Tg Mohd Zailan Bin Tg Ahmad.
Karnival tersebut telah menarik perhatian lebih 400 orang, sama ada yang hadir untuk menyertai acara-acara karnival ataupun sekadar memberi sokongan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang bertanding. Antara acara-acara sukan rakyat yang dipertandingkan adalah boling kelapa, isi air dalam botol, cari syiling dalam tepung, mengail botol dalam besen air dan lontar belon berisi air.
Para peserta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan saling membantu satu sama lain bagi menjuarai acara-acara berpasukan yang dipertandingkan. Warga kerja Malakoff juga mengambil peluang ini untuk beramah mesra bersama para penduduk dalam suasana santai.
Wakil Malakoff, Muhammad Ridzwan Jahaya, Ketua Bahagian Pengeluaran, Loji Janakuasa Malakoff menyatakan rasa syukur di atas kelancaran pelaksanaan karnival tersebut.
“Penganjuran karnival ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara warga kerja Malakoff dan penduduk setempat melalui aktiviti riadah. Karnival ini juga adalah tanda penghargaan kami terhadap masyarakat setempat yang telah menerima kewujudan kami di sini selama hampir dua dekad.”
Tok Sidang Kg. Segari, Zailani Zenon, turut berbesar hati di atas kesudian pihak Malakoff untuk mengadakan aktiviti sebegini bersama penduduk setempat.
“Bagi pihak penduduk Kg. Segari, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Malakoff di atas penganjuran acara sebegini. Terlalu banyak budi yang telah pihak Malakoff taburkan demi pembangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat sejak Malakoff bertapak di bumi Segari.”
Karnival tersebut diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dan jamuan makan tengah hari yang disediakan secara gotong royong oleh penduduk kampung.