bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Karnival Sukan Rakyat Mukim Serkat Anjuran Malakoff Disambut Meriah

13 December 2016



Pada 14 dan 15 Disember 2016, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Serkat dan Pakatan Nelayan Parit Penghulu telah mengadakan Karnival Sukan Rakyat Mukim Serkat bertempat di Pengkalan Nelayan Parit Penghulu, Pontian, Johor. Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, YB Suhaimi Salleh.


Karnival yang telah dianjurkan di Mukim Serkat sejak 2013 ini merupakan sebahagian daripada usaha Malakoff untuk mengeratkan silaturrahim antara Malakoff dan penduduk setempat.


Karnival itu telah dihadiri seramai hampir 1000 orang yang terdiri daripada penduduk Mukim Serkat dan warga Malakoff. Bersesuaian dengan tema karnival, para peserta berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai sukan rakyat yang semakin luput ditelan zaman, antaranya lumba renang gaya bebas, menyelam paling lama, memukul bantal atas titi dan menangkap itik. Selain itu, satu pertunjukan khas perlumbaan jong oleh penduduk Mukim Serkat telah dipertontonkan kepada para hadirin.



Suasana pertandingan dimeriahkan lagi dengan sorakan penyokong yang hadir. Golongan kanak-kanak dan remaja kelihatan paling teruja dan terhibur apabila berkesempatan menyertai dan menyaksikan sendiri sukan-sukan rakyat yang sudah semakin jarang dipertandingkan. Bagi golongan dewasa, karnival tersebut telah mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak mereka, di kala peti televisyen merupakan satu kemewahan yang jarang sekali diperoleh di kampung.


Wakil Malakoff, Pengurus Loji Janakuasa Tanjung Bin, En. Hairol Azizi Tajudin bersyukur di atas kelancaran pelaksanaan karnival tersebut. “Karnival sukan rakyat ini dinantikan saban tahun dan ia merupakan wadah untuk memupuk kerjasama dan silaturrahim antara Malakoff dan komuniti setempat.”


Sementara itu, Penghulu Mukim Serkat, En. Roslan Bohari juga berterima kasih di atas sokongan Malakoff bagi penganjuran carnival sukan rakyat kali ini. “Bagi pihak penduduk Mukim Serkat, sekalung penghargaan ditujukan kepada Malakoff kerana telah berterusan menyokong aktiviti-aktiviti yang kami dijalankan. Karnival seperti ini juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk beriadah bersama-sama sebagai satu keluarga besar,” ujar beliau.


Karnival tersebut diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan oleh YB Suhaimi Salleh dan wakil Malakoff.