bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Karnival Sukan Rakyat Mukim Serkat Masuk Tahun Kelima

1 December 2017



Pada 2 dan 3 Disember 2017, JKKK Mukim Serkat dan JKKK Kg Chokoh dengan kerjasama Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”) telah mengadakan Karnival Sukan Rakyat Mukim Serkat bertempat di Air Pengkalan Kg Chokoh, Pontian, Johor. Karnival tersebut telah dirasmikan oleh wakil rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (“ADUN”) Kukup, En. Hishamuddin Busri.



Karnival sukan rakyat yang telah dianjurkan sejak 2013 ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Malakoff untuk mengeratkan lagi jalinan mesra yang sedia ada di antara Malakoff dan penduduk setempat. Karnival ini juga menjadi salah satu medium untuk Malakoff dan penduduk setempat beramah mesra dalam keadaan santai disamping memupuk budaya saing yang sihat dalam aktiviti yang diadakan.



Hampir 1000 orang yang terdiri daripada penduduk Mukim Serkat dan wakil Malakoff telah hadir dan memeriahkan suasana dengan menyertai pelbagai aktiviti sepanjang karnival tersebut berlangsung.



Sebanyak 23 acara telah dipertandingkan yang dibahagikan kepada acara berkumpulan dan individu. Pada hari pertama, pertandingan memancing telah dijalankan seawal jam 10 pagi. Semua peserta telah mempraktikkan kemahiran memancing mereka untuk dinobatkan sebagai juara. Acara diteruskan dengan aktiviti sukan kampung iaitu lari dalam guni, timbang bola takraw, tendang bola pening lalat, makan buah epal dan pancing botol.



Pada hari kedua, karnival dimeriahkan pula dengan acara sukan air seperti tangkap itik, pukul bantal dan menyelam. Suasana sekitar Kg Chokoh sungguh meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang bersorak memberikan semangat kepada peserta. Kanak-kanak yang hadir turut berpeluang mengambil bahagian dalam acara sukaneka yang dipertandingkan seperti isi air dalam botol dan bawa bola pingpong dalam sudu. Mereka merupakan golongan paling teruja dan gembira apabila berkesempatan menyertai pertandingan yang dianjurkan dan dapat mengisi masa lapang mereka di musim cuti sekolah ini.



Karnival sukan kali ini juga dilihat dapat mengukuhkan hubungan di antara keluarga apabila mereka berpeluang menyertai acara anyam ketupat dan raut lidi bersama. Acara boling kelapa, baling kelapa dalam gol, pakaian beragam, teka kacang dalam botol dan karaoke turut berlangsung pada hari kedua.



Wakil Malakoff, Pengurus Loji Janakuasa Tanjung Bin, En. Hairol Azizi Tajudin gembira dengan sambutan meriah penduduk tempatan kali ini. “Alhamdulillah, sepanjang dua hari karnival ini berlangsung, penduduk tempatan telah turun padang dan bersama-sama menjayakan karnival sukan tahun ini.”


“Pendedahan acara sukan kampung melalui aktiviti sebegini merupakan satu usaha murni untuk mengetengahkan sukan tradisional kepada golongan remaja dan kanak-kanak dan mengekalkan warisan budaya lama yang makin ditenggelami arus kebangkitan nilai-nilai moden,” ujar beliau.



Sementara itu, Penghulu Mukim Serkat, En. Roslan Bohari berterima kasih di atas sokongan Malakoff bagi penganjuran sukan rakyat kali ini. “Penglibatan pihak Malakoff dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan Mukim Serkat terutama sekali dalam penganjuran Karnival Sukan Rakyat ini amat kami hargai. Program seperti ini memberi peluang kepada penduduk setempat untuk hadir dan beriadah bersama-sama sebagai satu keluarga besar,” ujar beliau.


Karnival tersebut berakhir dengan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan oleh En. Hishamuddin Busri dan wakil Malakoff.