bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Malakoff Anjur Ceramah Perdana bersempena Hari Raya Aidiladha

10 September 2015

Malakoff telah menganjurkan Ceramah Perdana 2015 bertempat di Masjid Al-Syakirin, Kampung Sungai Kuali, Mukim Serkat pada 11 September 2015 yang lalu. Ceramah Perdana ini diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1436 dan dihadiri lebih kurang 500 orang tetamu yang terdiri daripada warga Malakoff dan masyarakat setempat telah hadir ke majlis tersebut.



Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan jamuan makan dan ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah terkenal iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman. Antara intipati ceramah tersebut menyentuh tentang rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan ibadah haji, serta sejarah haji yang bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. Ustaz Harryanto menekankan bahawa setiap umat Islam haruslah membuat persiapan untuk melaksanakan ibadah haji dengan berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji dan membuat simpanan untuk kos dan perbelanjaan haji. Di samping itu, mereka perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya ibadah haji mereka menjaga dapat dilaksanakan dengan sempurna. Beliau juga berpesan bahawa umat Islam yang berkemampuan adalah amat dituntut untuk melaksanakan ibadah korban pada hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun.



Ustaz Harryanto juga mengingatkan para hadirin untuk menjaga tingkahlaku mereka di sepanjang bulan Zulhijjah kerana bulan tersebut dinamakan bulan “haram” dan dianggap sebagai salah satu bulan yang mulia di dalam kalendar Islam.


Salah seorang penduduk kampung yang hadir, Puan Habsah, ternyata sangat teruja untuk mendengar ceramah tersebut. Beliau dan rakan-rakan telah datang ke masjid seawal jam 6.30 petang bagi menghadiri ceramah perdana anjuran Malakoff yang julung-julung kalinya diadakan di Mukim Serkat.



Ceramah tersebut juga telah dihadiri oleh ADUN Kukup, Yang Berhormat En Suhaimi Salleh dan Tok Penghulu Mukim Serkat, Tuan Haji Roslan Bukhari yang sentiasa menyokong aktiviti komuniti anjuran Malakoff di kawasan tersebut.


Alhamdulillah, Ceramah Perdana tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari komuniti Mukim Serkat. Semoga penganjuran majlis sebegini dapat diteruskan di masa akan datang sebagai satu medan ilmu di samping mengeratkan silaturrahim di antara warga kerja Malakoff dan masyarakat setempat.