bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Malakoff Anjur Ceramah Perdana Maal Hijrah 1438H di Segari

8 October 2016



“Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” Begitulah tema yang telah dipilih untuk Ceramah Perdana Malakoff yang diadakan di Masjid Khairul Jariah, Segari pada 9 Oktober yang lalu. Majlis ini dianjurkan bersempena sambutan Maal Hijrah 1438H dan menampilkan Ustaz Harryanto Rizal Rokman sebagai penceramah jemputan.



Majlis tersebut dihadiri hampir 200 orang jemaah yang terdiri daripada masyarakat setempat dan warga kerja Malakoff. Usai solat Maghrib berjemaah, tanpa melengahkan masa, para hadirin mengambil tempat masing-masing di dalam masjid untuk mendengar ceramah beliau.


Sesuai dengan tema Ceramah Perdana kali ini, Ustaz Harryanto mengimbas kembali kisah perjuangan dan hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya yang setia dalam menegakkan syiar Islam. Beliau menyeru para jemaah untuk menerapkan pengajaran dari kisah mereka dalam kehidupan seharian.


Beliau juga menasihatkan para hadirin untuk mempertingkatkan ibadah-ibadah sunat dan berpegang kepada sunnah Rasulluh SAW di samping melaksanakan ibadah-ibadah yang wajib yang dituntut dalam Islam dalam mencari keredhaan Allah SWT.


Ustaz Harryanto turut mengajak para hadirin untuk hentikan perbalahan dalam hal-hal agama dan kembali bersatu demi kesejahteraan umat Islam di Malaysia.



Ustaz Abdul Razak, pengerusi Masjid Khairul Jariah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malakoff atas penganjuran ceramah kali ini. “Kesungguhan Malakoff untuk menganjurkan acara sebegini bagi mengeratkan silaturrahim antara ahli kariah masjid amatlah kami hargai. Semoga Ceramah Perdana ini dapat diteruskan lagi di tahun-tahun akan datang sebagai manfaat kita bersama.”


Alhamdulillah, penganjuran Ceramah Perdana kali ini berjalan lancar dan berjaya menjadi satu medan ilmu bagi masyarakat setempat.