Sharing important news and updates for you and the community
Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”) telah menganjurkan Ceramah Perdana bersempena memperingati peristiwa Israk Mikraj yang berlangsung dengan jayanya pada 12 April 2018 di Auditorium, Max KLHQ, menampilkan Ustaz Dato’ Badli Shah b. Alaudin sebagai penceramah jemputan. Program ini disertai oleh 60 orang warga kerja Malakoff KLHQ.
Ustaz Dato’ Badli Shah Bin Alaudin atau dikenali sebagai Tok Bad mengupas tajuk ceramah ‘Langkah ke Syurga, Iktibar Israk Mikraj’ dengan berkongsi kisah Rasulullah dan para sahabat ketika keunikan peristiwa Israk Mikraj yang telah direkodkan di dalam Al-Quran. Antaranya adalah dialog di antara seorang Yahudi dengan Saiyidina Umar Al Khattab yang mana Yahudi itu memberi jaminan akan memeluk agama islam jika Saiyidina Umar Al Khattab dapat memberi jawapan pada setiap pertanyaannya.
Peristiwa Israk ialah perjalanan Nabi Muhammad saw menaiki Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin manakala peristiwa Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Ajaibnnya, keseluruhan perjalanan Rasulullah hanya berlangsung pada satu malam menjangkaui logik akal manusia dan kemajuan sains pada masa itu.
Sebagai penutup , Ustaz Dato’ Badli Shah menekankan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Namun yang lebih penting adalah penghayatankita tentang pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian ajaib yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Program Ceramah Perdana KLHQ ini adalah salah satu inisiatif bagi mengukuhkan ukhwah antara warga kerja Malakoff KLHQ khususnya melalui aktiviti keagamaan seperti ini. Program ini julung kali diadakan dengan menggunakan peruntukan pengembalian semula wang zakat potongan gaji majikan. Menurut Arleena Abd Rahim dari Bahagian Akaun & Kewangan Malakoff, “Program ini amat bermanfaat buat kakitangan Malakoff dan memberi peluang menambah ilmu pengetahuan agama."