bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Malakoff Sertai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Negeri Johor

11 December 2016



12 Disember 2016, Pontian – Laungan selawat dan pujian ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW bergema di daerah Pontian sempena Sambutan Maulidur Rasul 1438 Hijrah Peringkat Negeri Johor. Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah turut serta dalam perarakan yang disertai oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan exco-exco Kerajaan Negeri Johor.



Bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah, sambutan kali ini telah menyaksikan seramai 17 wakil Malakoff berarak bersama 3,000 peserta daripada 80 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi dan sekolah kebangsaan.



Perakan bermula dari Dewan Jubli Intan Pontian ke Masjid Jamek sejauh hampir 1 kilometer tersebut bertujuan untuk memperingati hari keputeraan dan tanda kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW. Malakoff telah turut serta dalam sambutan kali ini di atas jemputan rasmi oleh Pegawai Daerah Pontian, Tuan Haji On bin Jaabar @ Jaafar.



Tunku Ismail sewaktu bertitah pada Sambutan Maulidur Rasul tersebut menyeru umat Islam agar mencontohi sifat Nabi Muhammad SAW yang mempunyai keperibadian unggul dalam menyatukan kekuatan dan persefahaman dalam kalangan ummah. Baginda turut bertitah bahawa sebarang perpecahan dan perselisihan faham dalam umat Islam adalah perkara yang dikeji oleh Allah SWT kerana boleh melemahkan kedudukan umat Islam serta kestabilan negara.


Selepas Tunku Ismail bertitah, sambutan diteruskan dengan ceramah agama oleh Kadi Daerah Pontian, Al Sheikh Mohd Khalil bin Mohd Noh. Antara intipati ceramah tersebut adalah menyeru umat Islam agar menghayati dan mencontohi ketabahan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam. Beliau turut menasihatkan hadirin untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dan bersatu dalam menegakkan keadilan dan perpaduan umat Islam.


En. Izzul Helmi bin Ahmad, Penolong Pentadbir Pejabat Tanah Daerah Pontian ketika ditanya berkata beliau gembira dapat menyertai perarakan kali ini. “Saya gembira dan bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berarak dan mendengar majlis ilmu kali ini. Tambah manis apabila perarakan ini dapat menghimpunkan ramai umat Islam dari pelbagai golongan masyarakat,” ujar beliau.


Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah oleh Tunku Ismail kepada ADUN Kukup, YB Suhaimi Salleh selaku wakil Umno Tanjung Piai yang merangkul Johan pertandingan sepanduk terbaik bahagian Mukim 2 sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini. Kategori lain yang turut dipertandingkan adalah perbarisan terbaik dan keluarga paling ceria.