Sharing important news and updates for you and the community
Penantian dua pesakit barah otak untuk menunaikan umrah berakhir apabila impian mereka direalisasikan oleh Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”). Pada 28 April 2017, satu pertemuan bersama kedua kanak-kanak tersebut telah diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. Zarifah Zahraa Zamry, 11, dan Mohamad Uthman Mohamad Saiful, 7, masing-masing telah menerima pakej menunaikan umrah daripada Malakoff, beserta wang tunai RM2,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan sumbangan peribadi daripada Datuk Seri Idris Haron.
Sebagai sebuah syarikat korporat yang prihatin terhadap nasib yang menimpa kedua-dua kanak-kanak tersebut, sumbangan pakej umrah tersebut diharapkan dapat menjadi hadiah seterusnya menjadi pemangkin semangat kepada mereka untuk terus berjuang melawan penyakit.
Zarifah Zahraa, yang ditemani ibu bapa, Hasnilah Abdullah, 48, dan Zamry Abd Rasip, 49, sama sekali tidak menyangka akan menerima sumbangan sedemikian. "Saya gembira dan mengucapkan terima kasih kepada syarikat Malakoff, termasuk kerajaan negeri dengan sumbangan yang diberikan serta berazam untuk cepat sembuh bagi mengerjakan umrah bersama ahli keluarga.”
Zarifah juga menyatakan hasrat untuk berdoa supaya dia sembuh dari penyakit yang dihidapi, sekaligus agar dia dapat membantu ibunya dan berjumpa kembali dengan rakan sekolah.
Ibu Mohamad Uthman, Norafidah Yahya, 32, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri serta pihak yang sudi menghulurkan sumbangan itu. "Anak saya kini beransur pulih dan sedang menjalani rawatan susulan. Dengan sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban dalam perbelanjaan," katanya ditemani suami, Mohamad Saiful Jadin, 33.
Sumbangan disampaikan Ketua Perhubungan Korporat dan Pengurusan Pemegang Berkepentingan Malakoff, Yusop Rashid, dan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Yaakub Md Amin.