bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Pasukan ERT Malakoff Power LPP Pertahan Kejuaraan Pertandingan ERT Negeri Perak

11 November 2014

Pasukan Emergency Response Team (ERT) Malakoff Power, Loji Janakuasa Lumut (LPP) baru-baru ini telah berjaya mempertahankan kedudukan sebagai juara keseluruhan pertandingan ERT 2014 peringkat negeri Perak, mengatasi 10 pasukan yang bertanding. Pertandingan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak ini diadakan sempena sambutan Hari Bomba Bersama Masyarakat peringkat negeri yang telah berlangsung di perkarangan tempat letak kereta AEON Manjung, Perak.


Pasukan ERT Malakoff Power LPP yang diwakili 18 peserta, telah memenangi lima daripada sembilan acara seperti berikut:

1) Bentang Hose Perseorangan Lelaki 100m - Johan (Muhammad Zulhaidi)

2) Kekemasan Memakai Pakaian Seragam Bomba (Baju Api) Lelaki – Johan (Noor Hidatullah)

3) Kekemasan Memakai Pakaian Seragam Bomba (Baju Api) Wanita – Johan (Roslinda Binti Ishak)

4) Kekemasan Pakaian Pasukan ERT – Johan

5) Bentang Hose Berhalangan 2 Anggota 150 m – tempat ketiga (Muhammad Ikram Sunai dan Mohd Shifol Mat Saad)


Perasmian dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Malaysia, YS TPjB Dato’ Rusmani bin Muhamad.


“Ini merupakan tahun kedua pertandingan seumpama ini diadakan bagi negeri Perak, yang bertujuan untuk menguji kemahiran dan kecekapan peserta dalam menghadapi dan mengawal situasi kebakaran,” kata beliau.


En Abdul Rahman Hussin, Pengurus Loji Janakuasa Lumut, amat berpuas hati dengan pencapaian yang dipamerkan oleh pasukan ERT Malakoff Power LPP.



“Pasukan kami telah berjaya mengekalkan kejuaraan bagi tahun kedua berturut-turut. Ini membuktikan bahawa mereka berkebolehan dan cekap dalam menangani kebakaran. Pencapaian ini adalah hasil daripada penyertaan dalam pelbagai program dan kursus keselamatan kebakaran yang dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” kata beliau.



Para pemenang bagi setiap kategori membawa pulang sebuah trofi, sijil penyertaan dan sebuah alat pemadam api, yang telah disampaikan oleh YS TPjB Dato’ Rusmani. Turut hadir pada acara tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, YBhg Dato’ Zamri bin Man.