top of page
bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Pengorbanan Demi Keredhaan Allah

5 August 2019



Pada 6 Ogos 2019, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah menganjurkan Ceramah Perdana KLHQ sempena Aidil Adha yang bertempat di Auditorium Malakoff Academy of X-cellence (MAX), Kuala Lumpur dan dihadiri seramai 60 staf Malakoff.


Ceramah Perdana tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Dr Muhammad Ayman al-Akiti, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Felo Kehormat Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM).



Ustaz Dr Ayman telah menyampaikan ceramah yang sarat dengan fakta secara bersahaja selain berkongsi pengalaman beliau menyambut Aidil Adha di Maghribi, di mana beliau telah memperolehi ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Usuluddin.

Seperti yang diketahui umum, sejarah Hari Raya Aidil Adha bermula dengan peristiwa korban yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim A.S. ke atas anaknya iaitu Nabi Ismail A.S. sebagai memenuhi perintah Allah.


Ustaz Dr Ayman juga berpesan supaya memperbanyakkan amal ibadah di bulan Zulhijjah yang dianggap sebagai salah satu bulan mulia dalam kalendar Hijrah. Antara amalan-amalan tersebut adalah berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah, puasa sunat Hari Arafah dan menjalankan ibadah korban pada Hari-hari Tasyrik.

Beliau berkata, terdapat dua jenis korban iaitu korban hakiki dan korban majazi. Korban hakiki bermaksud suatu ibadah atau tuntutan iaitu korban ke atas haiwan peliharaan iaitu seperti kambing dan lembu seperti yang dilakukan semasa Hari Raya Aidil Adha. Manakala, korban majazi pula bermaksud mengorbankan anak, isteri, harta dan segala kenikmatan yang dikurniakan kepada kita demi mencapai keredhaan Allah.



“Sesungguhnya pengorbanan ke jalan Islam adalah amat disukai oleh Allah. Para sahabat dahulu tidak berfikir panjang untuk memberikan segala harta, tenaga dan juga nyawa mereka demi menegakkan agama Islam.”

Sebagai contoh, menghantar anak menuntut ilmu dan berjauhan daripada keluarga demi memperoleh ilmu yang bermanfaat dan berkat. Begitu juga dengan korban terhadap harta seperti memberi wang untuk membangunkan masjid dan sekolah agama dan membantu mereka yang mengalami kesusahan tanpa mengira agama dan bangsa.

Semoga ilmu yang diperoleh daripada ceramah perdana kali ini, dapat diamalkan dan dijadikan panduan hidup selain dikongsikan bersama.

bottom of page