Sharing important news and updates for you and the community
Seramai hampir 2,800 tetamu telah hadir memeriahkan majlis jamuan hari raya di 4 buah Loji Janakuasa milik Malakoff di Tanjung Bin (Johor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Prai (Pulau Pinang) dan Lumut (Perak) sepanjang bulan Syawal yang lepas. Tetamu yang hadir terdiri daripada jabatan kerajaan tempatan, pihak berkuasa, warga kerja Malakoff serta ahli keluarga mereka.
Pelbagai juadah menarik dihidangkan kepada para tetamu dengan hidangan kambing golek sebagai menu utama. Antara juadah lain yang disajikan adalah lemang, rendang, laksa utara, ayam tempayan, sate, murtabak serta cendol dan aiskrim sebagai pemanis mulut. Kemeriahan sambutan hari raya ini dapat dilihat melalui wajah ceria warga kerja Malakoff dan ahli keluarga mereka yang hadir dengan berpakaian kemas dan cantik sedondon.
Di Port Dickson, En. Sankar MK. Samy, Pengurus Loji Janakuasa Port Dickson berasa teruja untuk menganjurkan jamuan hari raya kali ini. “Ini adalah jamuan hari raya kali kedua dianjurkan semenjak loji janakuasa ini dimiliki sepenuhnya oleh Malakoff. Kami gembira kerana dengan pelaksanaan program ini, kami dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara warga kerja Malakoff,” ujar beliau.
Wakil Malakoff dari ibu pejabat yang telah hadir memberikan sokongan adalah En. Nordin Kassim, Naib Presiden Kanan, Operasi & Penyelenggaraan Malakoff dan En. Yahya Yunus, Pembantu Naib Presiden, Bahagian Pengurusan Aset Malakoff.
Majlis Jamuan Hari Raya ini merupakan acara tahunan Malakoff sebagai salah satu platfom untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama warga kerja Malakoff, keluarga dan pihak berkuasa tempatan. Diharapkan agar objektif majlis ini dianjurkan tercapai serta hubungan yang terjalin bertambah erat dan berterusan.