bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

TNB Juara Bola Sepak dan Bola Jaring Persahabatan

19 October 2017



Pada 20 Oktober 2017 yang lalu, pasukan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah sekali lagi berkunjung ke Padang Kilat TNB, Bangsar untuk perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Perlawanan persahabatan ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara warga kerja Malakoff dan TNB menerusi aktiviti riadah.



Seramai 60 pemain dari Malakoff dan TNB mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan kali ini yang bermula jam 6.00 petang. Kehadiran para penyokong dari kedua-dua pasukan ternyata memberi semangat dan kekuatan untuk para pemain mempamerkan aksi terbaik mereka.



Di padang bola, kedua-dua pasukan bersemangat untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik setelah perlawanan terikat seri satu sama pada separuh masa pertama. Ketangkasan dan kehebatan pasukan TNB menguji kebolehan para pemain bola sepak Malakoff. Asakan demi asakan ditujukan ke gawang Malakoff dan pasukan Malakoff telah berusaha sehabis mungkin untuk menangkis serangan TNB. Namun keputusan berpihak kepada TNB dengan keputusan 2-1 sebaik wisel penamat dibunyikan.



Pasukan bola jaring Malakoff dan TNB juga turut mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan. Rentak permainan pasukan TNB jelas memberikan cabaran kepada pasukan Malakoff apabila terus mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan. TNB muncul juara sebaik perlawanan berakhir dengan keputusan 23 jaringan berbalas 9.



Syabas kepada semua pemain yang telah mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak TNB kerana sudi menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan kali ini. Semoga kita bertemu lagi di perlawanan yang akan datang!