>

NEWS

News Details

Majlis Silaturrahim Antara Penduduk Kampung Kawasan Satu Mukim Serkat Dengan Malakoff Corporation Berhad

Oleh: Che Wan Nurul Ain Shuhada Che Wan Razlan

Malakoff Corporation Berhad (MCB) mengambil inisiatif terpuji menganjurkan salah satu program bersama komuniti setempat di sekitar stesen janakuasanya Tanjung Bin dengan kerjasama ahli JKKK serta penduduk Kampung Mukim Serkat Kawasan 1, Pontian, pada 8-10 Julai 2011. Program ini, yang juga dikenali sebagai Majlis Silaturrahim, mendapat sokongan penuh dan kelulusan daripada En Zainal Abidin Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif, Malakoff Corporation Berhad.

Majlis Silaturrahim yang berlangsung selama tiga hari itu, iaitu bermulanya pada hari Jumaat (8 Julai) yang lepas dan berakhir pada Ahad semalam di Dewan Kampung Sungai Chengkih, adalah sebahagian daripada inisiatif dan tanggungjawab pihak Malakoff terhadap komuniti setempat, secara tidak langsung merealisasikan matlamat syarikat di bawah Program Tanggungjawab Sosial Malakoff atau sinonimnya dikenali sebagai Malakoff Community Partnerships (MCP).

Bersesuaian dengan nama program kemasyarakatan ini, iaitu Majlis Silaturrahim, pihak Malakoff sangat berbesar hati telah turun padang bersama-sama penduduk kampung dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang telah diadakan oleh pihak JKKK bagi mencapai objektif utama program ini iaitu mengeratkan silaturrahim antara penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan stesen janakuasa dengan kakitangan Malakoff Corporation Berhad.

Kepelbagaian Aktiviti

Pelbagai aktiviti yang telah diadakan sepanjang program ini berlangsung termasuklah pertandingan badminton dan takraw, gotong-royong yang turut disertai oleh kakitangan Malakoff, pertandingan gubahan dan masakan, serta pertandingan melukis dan mewarna bagi golongan kanak-kanak. Aktiviti gotong-royong meliputi aktiviti mengecat dan melakukan pembersihan di kawasan Masjid Jamek Sungai Dinar di kampung tersebut.

Bagi aktiviti-aktiviti lain seperti pertandingan badminton dan takraw yang telah diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu, ianya telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk kampung. Sebanyak 16 kumpulan telah menyertai pertandingan ini termasuk 2 kumpulan dari Malakoff. Tidak ketinggalan juga dengan pertandingan gubahan dan masakan yang turut mendapat sokongan yang menggalakkan daripada penduduk kampung, termasuklah golongan remaja. Dengan adanya pertandingan atau aktiviti yang sebegini, penduduk kampung berpeluang menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing.

Malakoff sangat menitikberatkan soal pendidikan anak muda yang akan menjadi pewaris bangsa di masa akan datang. Di dalam program ini juga diselitkan dengan acara penyampaian cek kepada anak-anak muda kampung yang telah berjaya mendapat tawaran kemasukan ke institusi pengajian awam (IPTA). Sumbangan ini adalah inisiatif tetap di bawah Tanggungjawab Sosial Malakoff (MCP). Ianya bertujuan untuk menggalakkan pelajar-pelajar di kampung berkenaan belajar bersungguh-sungguh dan berharap agar graduan yang dihasilkan adalah berkualiti seterusnya dapat diserap masuk bekerja dengan Malakoff suatu hari nanti. Ianya selaras dengan matlamat Malakoff yang telah mensasarkan sebahagian kakitangan pekerjanya terdiri daripada masyarakat setempat.

Malakoff sentiasa menghulurkan apa jua bentuk sumbangan dalam meringankan beban masyarakat setempat. Seramai 10 orang penerima sumbangan termasuk 8 pelajar yang bakal memasuki IPTA serta 2 orang golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Kesemua cek sumbangan telah disampaikan oleh wakil dari Malakoff, Tuan Haji Sharifuddin Othman.

Tok Penghulu Rasa Bangga Dengan Keprihatinan Malakoff

Program ini turut mendapat reaksi positif daripada Ketua Mukim Serkat (Kawasan Satu) iaitu Tok Zaini bin Mohd Suhaimi menerusi ucapan beliau di majlis penutup program ini yang berlangsung pada Ahad semalam. Dalam ucapan beliau, beliau melahirkan rasa bangga dengan prestasi dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Malakoff sejak dulu lagi. Walaupun pihaknya telah banyak menerima peruntukan daripada pihak-pihak syarikat yang lain sebelum ini, tetapi Malakoff adalah satu syarikat yang paling banyak membantu dan peka dengan keadaan sekeliling, iaitu dari segi kebajikan masyarakat setempat, sebagai contoh, Malakoff telah membantu penduduk nelayan dengan membina jeti, dan paling membuat beliau bangga adalah keprihatinan Malakoff terhadap pentingnya pendidikan di kalangan anak-anak muda.

Turut kelihatan bagi menjayakan program ini adalah Tuan Haji Ramli bin Abu, Pengurus Pengeluaran, mewakili Stesen Janakuasa Tanjung Bin bersama-sama kakitangan yang lain seperti Tuan Haji Khairuddin Sabikin, Norinshah Haron, Nor Azamimah Yahaya, Salmah Abdul Wahab, Suhaimi Adnan, Muhamad Shah Ayob serta rakan-rakannya turut turun ke padang bagi menjayakan aktiviti kemasyarakatan ini.

Pihak Malakoff sangat berbangga dengan sepanjang perjalanan program ini. Walaupun pada hari ketiga iaitu di majlis penutupan program ini hujan kelihatan agak lebat, namun program tetap berjalan seperti yang dirancangkan. Kepujian harus diberikan kepada Puan Norinshah Haron iaitu dari bahagian pentadbiran, kakitangan Stesen Janakuasa Tanjung Bin kerana beliau merupakan tulang belakang yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengendalikan keseluruhan perjalanan program ini. Cukup buat kami semua terharu apabila beliau bersama-sama rakan-rakan yang lain telah mengorbankan masa bersama keluarga bagi memastikan program kemasyarakatan ini berjalan dengan lancar dari peringkat perancangan, pembungkusan hadiah sehinggalah tamatnya program ini berlangsung.

Bantuan Tambahan Dari Segi Akademik

Apa yang lebih menarik di sekitar majlis ini adalah wakil dari Malakoff iaitu Tuan Haji Sharifuddin Othman dan Encik Yusop Rashid, Ketua Hal Ehwal Korporat dan Hubungan Luar telah berbincang dan mengambil keputusan yang menggembirakan penduduk kampung dan keputusan yang diumumkan mendapat tepukan yang gemuruh daripada para hadirin.

Antara pengumuman yang telah dibuat oleh Tuan Haji Sharifuddin Othman dalam ucapan beliau sewaktu penutupan Majlis Silaturrahim ini adalah pihak Malakoff telah bersetuju untuk membayar yuran persekolahan sepenuhnya pada tahun hadapan kepada golongan penduduk kampung yang miskin dan tidak mampu menyara pembiayaan akademik anak mereka dan pihak Malakoff akan bekerjasama dengan pihak sekolah bagi mendapat maklumat mengenai latar belakang pelajar berkenaan.

Selain daripada itu, pihak pengurusan Malakoff juga telah bersetuju untuk memberi bantuan buku teks untuk sekolah agama rendah dan menengah di kawasan berkenaan serta mewujudkan skim pinjaman buku teks di sekolah agama dengan berhubung terus kepada pihak sekolah berkenaan.

Di akhir majlis penutupan, Hamidon Jaafar, salah seorang penduduk kampung kawasan berkenaan berkata, beliau mengharapkan agar pihak Malakoff dapat menjalankan lagi pelbagai aktiviti bersama orang kampung dan menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti tahunan dan berharap agar anak-anak muda yang berkelulusan diploma dan ijazah akan diserap masuk bekerja dengan Malakoff supaya kadar pengangguran di kawasan berkenaan dapat dikurangkan.

Start typing to see you are looking for.

Share Link