>

NEWS

News Details

Malakoff Santuni Penghuni Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah

Pada April yang lalu, Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”) telah menganjurkan majlis iftar bersama 40 orang penghuni Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah (Baitun Nurrawdhah) yang bertempat di Malakoff Academy of Excellence (“MAX”). Majlis iftar ini menjadi lebih bermakna apabila diadakan buat pertama kalinya di Malakoff dan turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan dan kakitangan Malakoff.

Pada majlis tersebut, Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Encik Anwar Syahrin Abdul Ajib telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM15,285.00 kepada Pengerusi Baitun Nurrawdhah, Puan Haffipah Ismail di mana RM10,000.00 adalah daripada syarikat, manakala RM5,285.00 merupakan sumbangan daripada #TeamMalakoff yang prihatin melalui kutipan sumbangan yang telah diadakan pada 6 -10 April yang lalu.

Majlis tambah ceria apabila Encik Anwar turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 35 anak-anak Baitun Nurrawdhah. Baitun Nurrawdhah telah menjadi tempat perlindungan dan jagaan anak-anak yatim, asnaf, miskin dan terbiar dari seluruh Malaysia. Anak-anak ini sama ada diserahkan oleh ahli keluarga mereka sendiri atau diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada Baitun Nurrawdhah.

Usai majlis iftar bersama-sama anak Baitun Nurrawdhah, majlis diteruskan dengan solat tarawih berjemaah yang telah dipimpin oleh Encik Muhammad Ruziani Abdul Razak. Sebelum majlis berakhir, anak-anak Baitun Nurrawdhah turut menerima cenderahati daripada Malakoff. Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak ini yang begitu girang dan ceria apabila menerimanya daripada Encik Anwar.

Pengerusi Baitun Nurrawdhah, Puan Haffipah Ismail menyatakan rasa kesyukuran & amat berterima kasih kepada Malakoff atas keprihatian dan perkongsian rezeki bersama mereka “Semoga usaha Malakoff dalam menceriakan anak-anak ini mendapat keberkatan Allah SWT”, katanya.

Inisiatif ini merupakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (“CSR”) Ramadan Malakoff menerusi tahun ketiga penganjuran program #ShareOurLove yang merupakan satu usaha untuk memupuk semangat untuk ‘memberi semula kepada masyarakat’. Kami percaya, di sebalik kegembiraan kita semua, terselit tanggungjawab kecil kita untuk menggembirakan mereka yang memerlukan. Ia menjadi platform yang baik untuk meningkatkan kesejahteraan sosial dan mengeratkan lagi hubungan Malakoff dengan pihak berkepentingannya.

Start typing to see you are looking for.

Share Link