>

NEWS

News Details

Malakoff Sertai Program Penanaman Pokok Karas di Ledang

Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah menyertai Program Penanaman Pokok Karas di Ledang, Johor pada 31 Disember 2016 yang lalu. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Haji Hamim bin Samuri telah merasmikan dan menyempurnakan program tersebut diiringi oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dato’ Dr. Ahmad Kamarulnajuib Bin Che Ibrahim, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dato’ Dr. Mohammad Ezanni bin Mat Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Dato’ Dr. Sukarno bin Wagiman dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod.

Sebanyak 3,114 pokok jenis karas atau lebih dikenali dengan nama pokok gaharu telah berjaya ditanam serentak di tiga kawasan iaitu di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir; Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati dan Bandar Baharu Tangkak.

Seramai 15 warga kerja Malakoff telah menyertai program tersebut bersama-sama komuniti Ledang dan berjaya mencipta rekod baru Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penanaman pokok karas paling banyak.

Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri sewaktu berucap di majlis perasmian program tersebut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program kali ini, termasuk pihak Malakoff. Beliau turut berkata, “Sesungguhnya kehadiran anda semua menunjukkan keprihatinan dan komitmen yang tinggi kepada aktiviti penghijauan alam sekitar.”

“Selain menyemai sikap keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar, program ini juga bertujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama memelihara dan memulihara eko-sistem disekeliling kita. Teruskan usaha anda untuk menjaga dan melindungi pokok tersebut agar ia membesar dan memberikan hasil,” tambah beliau.

Warga kerja Malakoff, Nooradibah Musa berkata, “Ini merupakan julung kali saya berpeluang mengenali dan menanam sendiri pokok karas. Penyertaan Malakoff dalam program seumpama ini selari dengan objektif syarikat untuk menjadi sebuah syarikat korporat yang prihatin terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.”

Program berakhir dengan penyampaian Sijil Pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) yang telah diserahkan oleh pegawai MBOR, Nurasyikin Ramli kepada Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri.

Start typing to see you are looking for.

Share Link