top of page
bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Aidilfitri Malakoff KLHQ Disambut Meriah

5 July 2017

Satu sambutan Hari Raya peringkat ibu pejabat Malakoff Corporation Berhad di Kuala Lumpur telah diadakan pada 6 Julai 2017 yang lalu, bertempat di Malakoff Academy of Excellence (MAX). Sambutan dijalankan secara sederhana tapi meriah dan menyaksikan penglibatan hampir semua warga kerja yang telah berganding bahu dari peringkat perancangan hingga ke pelaksanaan majlis tersebut. Selain itu, ia juga berjaya memupuk semangat berpasukan dan menjalin silaturrahim di kalangan warga kerja Malakoff.


Majlis tersebut juga telah diserikan dengan kehadiran Pengerusi Malakoff yang baharu, YBhg. Datuk Haji Hasni Harun, dan ahli lembaga perngarah Malakoff, YBhg. Datuk Dr. Syed Muhamad bin Syed Abdul Kadir.



Bagi mencipta kelainan daripada sambutan-sambutan Hari Raya yang sebelumnya, beberapa pertandingan telah diadakan yang melibatkan warga kerja yang terbahagi kepada enam kumpulan mengikut tingkat masing-masing. Antaranya pertandingan Baju Raya Terbaik, Hiasan Gerai, Persembahan Ringkas, Juadah Istimewa, Kaki Karaoke Raya dan Foto Raya Terbaik.



Suasana ruang legar di MAX kelihatan meriah dengan hiasan Hari Raya dan busana Lebaran warga kerja Malakoff yang penuh warna warni. Mereka tiba seawal 10 pagi untuk berdaftar bagi melayakkan diri untuk menyertai pertandingan Baju Raya Terbaik yang terbahagi kepada kategori Lelaki dan Wanita.



Gerai-gerai menu Raya juga telah terhias cantik hasil kerjasama warga kerja Malakoff. Ini adalah salah satu daripada pertandingan yang diadakan di mana setiap kumpulan ditetapkan gerai dan menu Raya untuk dihias dalam pertandingan Hiasan Gerai. Gerai-gerai telah dihias mengikut kreativiti masing-masing, dan rata-rata mereka telah memilih tema suasana di kampong dan tema padang pasir. Tingkat 9 yang telah menghias gerai mereka dengan tema “Beraya di Kampong” telah dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut.



Bagi mempersembahkan gerai-gerai kepada pengunjung, setiap kumpulan dikehandaki membuat satu persembahan ringkas yang bersesuaian dengan tema gerai dan menu mereka. Sebagai persiapan, setiap kumpulan telah berbincang dan berlatih untuk persembahan mereka hampir sebulan lebih awal bagi memastikan mereka bergelar juara. Berkat kesungguhan dan kreativiti mereka, Tingkat 9 telah dipilih sebagai pemenang Persembahan Ringkas tersebut.



Setiap kumpulan juga telah mempersembahkan satu juadah untuk dipertandingkan dalam Juadah Istimewa yang menampilkan juadah unik seperti rendang kerbau daun puding, lemang periuk kera, nasi dagang, pulut kuning, daging ketuk, rendang daging masak hitam dan rendang ayam salai. Pertandingan ini juga sekaligus memperkenalkan makanan tradisi Melayu yang sudah semakin luput ditelan zaman. Pertandingan Juadah Istimewa ini telah dimenangi oleh Tingkat 11 yang mempertaruhkan rendang kerbau daun puding yang enak dan lain dari yang lain.



Alhamdulillah, acara ini telah menerima sambutan yang hangat daripada warga kerja Malakoff. Kalah dan menang adat bertanding. Yang lebih utama, semoga ukhuwah yang terjalin akan berkekalan dan tali persahabatan di antara mereka akan bertambah erat.



Senarai pertandingan dan pemenang:

Hiasan Gerai:-

Tingkat 9 (Juara), Tingkat 10 (Naib Juara)


Persembahan Ringkas:-

Tingkat 9 (Juara), Tingkat 11 (Naib Juara)


Juadah Istimewa:-

Tingkat 11 (Juara), Tingkat 10 (Naib Juara)


Kaki Karaoke Raya:-

Tingkat 10 (Juara), Tingkat 12 (Naib Juara)


Baju Raya Terbaik:-

Kategori Lelaki: Aliff Ridzuan (Tingkat 9),

Kategori Wanita: Sharifah Syazwani Husna (Tingkat 8)


Juara Keseluruhan:-

Tingkat 9

bottom of page